Showing posts with label Perkembangan Awal Kanak-kanak. Show all posts
Showing posts with label Perkembangan Awal Kanak-kanak. Show all posts

Tuesday, January 24, 2017

PERKEMBANGAN BAYI DARI LAHIR HINGGA 2 TAHUN


Entri #23: Perkembangan kanak-kanak.
Perkembangan anak-anak mungkin berbeza-beza, mungkin ini hanya sebagai panduan untuk ibu-ibu pantau perkembangan anak-anak. Boleh klik di link asal untuk lebih detail, saya simpan di sini sebagai panduan untuk yang bongsu.


Tahap-tahap Pertumbuhan Bayi Adalah Seperti Berikut:

0 hingga 3 bulan
 
• Berupaya bertindak balas jika anda menyentuhnya dengan lembut pada pipi atau bahagian sensitif lain seperti tapak tangan dan kaki.
• Dalam tempoh ini juga, kemahiran motor bayi mulai terbentuk dengan baik. Bayi boleh menoleh kepala ke kiri dan ke kanan dan meluruskan tangan serta kaki.
• Mata bayi sudah boleh melihat tetapi tidak fokus.
• Pada usia enam minggu, bayi boleh tersenyum.
• Pada usia lapan minggu bayi akan mengeluarkan bunyi tetapi sukar difahami.
• Kepala bayi sudah boleh diangkat apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia tujuh hingga lapan minggu bayi sudah boleh memegang alat permainan lembut dalam tempoh sekejap.
• Pada usia sembilan minggu bayi sudah boleh melihat dari satu objek ke objek lain.

Tip: Beri bayi anda alat permainan yang mengeluarkan bunyi untuk merangsang kemahiran pendengarannya. 


3 hingga 6 bulan
 
• Pada usia 14 minggu, bayi sudah boleh berguling dari perut ke belakang dan sebaliknya.
• Bayi juga boleh mencapai objek dan menggoncang permainan.
• Bayi sudah boleh memegang dua permainan sekali gus dan meletakkannya dalam mulut.
• Bayi sudah boleh mengangkat dadanya apabila dibaringkan secara meniarap.
• Pada usia 16 minggu bayi sudah mulai menendang-menendang kakinya.
• Genggaman tangan bayi mulai kejap dan kemahiran motornya kian mantap.
• Bayi boleh mengangkat kepalanya dalam masa yang agak lama dan memandang ke arah anda.

Tip: Menyanyi akan menceriakan bayi anda dan merangsang kemahiran lisannya. Jadi, ajaklah anak tepuk tangan dan gerakkan badannya mengikut rentak muzik. 


6 hingga 9 bulan
 
• Bayi mulai menolak dirinya dengan menggunakan kedua-dua tangan, perut dan lutut.
• Mata bayi mulai fokus dan mengekori pergerakan anda di sekeliling rumah.
• Bayi juga mulai merangkak.
• Sudah boleh menggunakan genggaman hujung jari yang melibatkan jari telunjuk dan ibu jari untuk mengambil objek kecil.
• Mulai berdiri dengan sokongan pelbagai barang dalam rumah seperti kabinet, rak, meja dan sebagainya.
• Mulai berjalan dengan bantuan barang-barang sokongan seperti perabot.
• Bayi mengeluarkan pelbagai bunyi suku kata seperti ‘ba’ atau ‘da’ yang jelas tetapi tidak difahami.

Tip: Ajar anak menyebut perkataan yang mudah seperti mama dan papa untuk merangsang kemahirannya bercakap.
 

9 hingga 12 bulan
 
• Pada usia 40 minggu bayi mulai boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan perabot.
• Sesetengah bayi mulai memulakan langkah pertama pada usia 41 minggu.
• Bayi juga berminat menolak kereta sorong dan memegang objek yang lebih besar seperti bola.
• Bayi juga boleh memegang objek yang halus seperti pensel dengan cermat.
• Bayi boleh mengenali ahli keluarganya dengan jelas seperti ibu, bapa dan adik-beradik.
• Sudah memahami arahan mudah anda seperti ‘jangan’.
• Bayi gemar bermain ‘sorok barang’ dengan anda.

Tip: Mengajak anak bermain ‘sembunyi-sembunyi’ akan merangsangnya menjadi lebih fokus ketika melihat. 


12 hingga 24 bulan
 
• Pada peringkat ini kanak-kanak biasanya sudah pandai berkata-kata. Contohnya. “Mana mama?”
• Ketika bercakap, mereka akan fokus terhadap apa yang mereka cakapkan itu.
• Semasa membaca buku bersama, mereka akan turut menyebut nama objek-objek yang ada di dalamnya.
• Kanak-kanak dua tahun juga semakin pandai naik dan turun tangga.
• Boleh membuka zip yang bersaiz besar.
• Sudah pandai melukis.
• Semakin pandai memegang dan menggunakan sudu.

Tip: Beri anak anda sudu dan garpunya sendiri ketika makan untuk merangsang kemahirannya memegang sesuatu benda. 


Manakala perkembangannya pula akan merangkumi 5 asas utama iaitu perkembangan fizikal, bahasa, kognitif, sosial emosi dan estetika serta daya kreatif.


1. Perkembangan Fizikal
 
Si manja mengalami perubahan dari segi bentuk dan saiz; kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan halus serta koordinasi anggota badan. Motor kasar berkaitan dengan otot-otot kasar seperti merangkak, memanjat, berjalan dan berlari. Manakala motor halus berkaitan dengan hal yang menggunakan saraf seperti melakar dan melukis.

Tip rangsangan: Berikan anak kertas dan pensel warna. Biarkan dia melukis apa sahaja yang diingini untuk memupuk kreativiti mereka. 


2. Perkembangan Bahasa
 
Anak anda akan mengalami perubahan daripada tahap mengeluarkan bunyi-bunyian kepada penerimaan, kefahaman dan mengeluarkan kata-kata sebagai tindak balas kepada rangsangan. Dia akan belajar menyebut apa sahaja yang didengarkannya. Sama ada melalui percakapan ibu bapa, bahan bacaan yang dibaca kepadanya, menonton televisyen dan mendengar radio.

Tip rangsangan: Ajaklah anak menyanyi lagu dengan lirik ciptaan anda sendiri agar anak boleh belajar menyebut perkataan dengan betul. Misalnya,“Masa mandi, gosok gigi, gosok gigi, gosok gigi...baru bersih.” 


3. Perkembangan Kognitif
 
Ini bermaksud keupayaan kanak-kanak mengumpul maklumat dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza mengikut tahap usia. Interaksi dan komunikasi orang dewasa dengan kanak-kanak adalah perlu. Kanak-kanak memahami dan akan belajar meniru sebutan berbahasa dengan betul setelah melakukan pengumpulan maklumat.

Tip rangsangan: Setiap kali melakukan sesuatu, beritahu anak apa yang anda sedang buat. Misalnya, “Mama nak buka lampu ni,” lalu tekan suis dan lampu akan menyala. Dengan cara ini anak anda akan memahami perbuatan tersebut. 


4. Perkembangan Sosial Emosi
 
Kanak-kanak mula belajar bergaul, berinteraksi dan meluahkan perasaan. Mereka semakin membesar dan pastinya perkembangan emosinya berbeza seperti gembira dan marah. Asuh kanak-kanak dengan mendengar perasaan yang diluahkan dan bimbing mereka ke arah emosi yang positif. Jangan dibiarkan menangis berterusan tanpa mengambil berat emosinya. Tenangkan mereka supaya tidak menangis berpanjangan. Minta mereka memberitahu masalah dan berikan dorongan atau pujian sekiranya mereka boleh menguasai emosinya.

Tip rangsangan: Galakkan anak berkawan dengan rakan sebaya agar dia pandai berkomunikasi dan bertolak ansur. 


5. Perkembangan Estetika dan Kreativiti 
 
Lihat kemampuan si kecil mengembangkan daya kreativitinya. Kemahiran ini diperoleh menerusi aktiviti dan projek berkaitan seni visual yang mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir. Proses ini mengaktifkan pemikiran kritikal kanak-kanak dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Selain itu, aktiviti pendidikan seni visual menggalakkan kanak-kanak melakukan eksplorasi dan eksperimen dalam kehidupan seharian.

Tip rangsangan: Ajak anak bermain permainan gambar sama. Ambil beberapa keping gambar dan buatkan dua salinan. Campurkan kesemuanya dan biarkan anak asingkan gambar yang sama. Cara ini mengasah kemahiran anak menyelesaikan masalah.

Friday, January 13, 2017

IQ dan EQ yang mana lebih diperlukan?

Entri #12: IQ dan EQ yang mana lebih diperlukan?
Agen: Noor Azila Khalid
Sumber: Artikel ini disalin daripada page Dato' Maznah Hamid 
Foto: Google Images

Kecerdasan emosi (EQ) lebih berperanan penting dan lebih baik dalam personaliti seseorang individu berbanding kecerdasan intelek. Kejayaan seseorang dalam kehidupan bukanlah semata-mata disebabkan oleh kecerdasan inteleknya (IQ), kecerdasan emosi (EQ) juga boleh membawa kejayaan, malahan lebih banyak lagi memberi sumbangan kejayaan individu berbanding kecerdasan intelek.


Hal ini disokong oleh kajian yang dilakukan oleh Goleman pada tahun 1998 yang menyatakan bahawa 80 peratus kejayaan bergantung kepada kecerdasan emosi (EQ) manakala selebihnya 20 peratus adalah bergantung kepada kecerdasan intelektual (IQ), kenyataan ini dibuat berdasarkan kajian yang dijalankan olehnya ke atas beribu-ribu orang ahli profesional yang berjaya dalam bidang masing-masing serta penyelidikan yang dilakukan terhadap 500 buah organisasi di seluruh dunia.


Sebenarnya kecedasan intelek hanya dimiliki oleh sesetengah manusia sahaja dan hanya dapat diwarisi secara genetik atau biologikal, berbanding kecerdasan emosi, ia dimiliki oleh setiap manusia tidak kira dari latar belakang mana sekalipun seseorang itu datang. Kecerdasan emosi boleh dipelajari, dikembangkan dan ditingkatkan iaitu daripada pengalaman yang didapati sebelum ini.


Semakin banyak seseorang itu menerima pengalaman seperti menguruskan emosinya ketika menghadapi tekanan, maka tahap kecerdasan emosinya juga semakin tinggi. Kecerdasan emosi (EQ) penting dalam setiap individu, sama ada terhadap pemimpin, pengurus, pekerja dan sebagainya.


Dalam hal yang lain, kecerdasan intelek (IQ) tidak berupaya membentuk akhlak, moral, rohani dan jasmani yang sebenar, kecerdasan intelek yang tidak dikawal dengan emosi yang pintar, biasanya akan membawa kepada kelakuan yang tidak baik.

 
Dengan adanya kecerdasan emosi seseorang akan mampu menilai kebaikan dan keburukan sesuatu tindakan, keadaan ini membolehkannya mudah mencapai sesuatu matlamat dengan adanya disiplin tersebut.


Kajian menunjukkan bahawa kepintaran intelek hanya boleh membantu sebanyak 20% untuk kita berjaya dalam hidup manakala selebihnya (80%) dibantu oleh kepintaran emosi

Perkembangan Kanak-kanak 0-5 Tahun

Entri #11 : Perkembangan kanak-kanak 0-5 tahun.
Sumber: https://seehearplaytalk.wordpress.com

Terdapat pelbagai jenis perkembangan yang mempengaruhi domain kemahiran seseorang kanak-kanak pada umur 0 hingga 5 tahun.

 
Kebiasaanya, ianya digabungkan di dalam satu carta perkembangan kanak-kanak (0-5 tahun) secara menyeluruh. Namun, terdapat beberapa domain kemahiran spesifik yang perlu diketahui oleh ibubapa.Antaranya adalah:
  • Perkembangan oral motor, penelanan dan pemakanan
  • Perkembangan kemahiran mendengar (daya tumpuan dan tumpuan mendengar)
  • Perkembangan pertuturan (bunyi)
  • Perkembangan bahasa (reseptif dan ekspresif)
  • Perkembangan sosial komunikasi dan emosi
  • Perkembangan kemahiran bermain
  • Perkembangan sensori dan regulasi badan
  • Perkembangan kognitif
  • Perkembangan kemahiran motor kasar
  • Perkembangan kemahiran motor halus
  • Perkembangan pengurusan diri (ADL)
  • Perkembangan kemahiran pra-literasi
  • Perkembangan kemahiran literasi
  • Perkembangan pertumbuhan & kematangan fizikal

Di bawah adalah salah satu contoh carta perkembangan kanak-kanak.



Kesemua perkembangan di atas perlu bergerak seiring mengikuti perkembangan normal (umur 0-5 tahun) seseorang kanak-kanak. Jika salah satu domain kemahiran bagi sesorang kanak-kanak itu lewat, ianya mungkin akan mempengaruhi domain kemahiran yang lain.

Contohnya: 

Jika anak mempunyai perkembangan pertuturan yang lambat, anak juga mungkin mempunyai masalah kemahiran sosial komunikasi, pra-literasi atau literasi.

  • Anak yang mempunyai masalah bahasa boleh mempengaruhi kemahiran sosial komunikasi dan literasi.
  • Anak yang lambat perkembangan motor kasar akan mempengaruhi perkembangan motor halus
  • Anak yang lambat perkembangan sensori boleh mempengaruhi daya tumpuan, perkembangan bahasa, pertuturan, kemahiran bermain, motor kasar atau halus, kemahiran literasi.
  • Anak yang mempunyai lewat perkembangan oral motor, penelanan atau pemakanan mungkin mempunyai masalah pertuturan, bahasa, sensori dan sebagainya.

Take Note: Ibubapa memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan anak-anak mengikuti perkembangan yang normal bagi setiap domain kemahiran. Bila kita kenal tahap perkembangan anak, lebih senang kita hendak mendidik anak mengikut tahap dan kesediaan mereka =)

Jika ibubapa dapat mengesan berlakunya lewat perkembangan pada domain kemahiran yang disenaraikan di atas, ibubapa boleh terus merujuk pakar perkembangan kanak-kanak dan terapis yang berkaitan. Jangan tunggu dengan lebih lama!

Pakar perkembangan kanak-kanak dan juga terapis akan menilai dengan lebih lanjut, agar domain kemahiran yang bermasalah dapat dikenal pasti dengan lebih terperinci. Ini membolehkan intervensi awal berjalan dengan lebih tepat dan cepat.