Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Monday, January 23, 2017

Mengharungi Autisme

Entri #20 : Autisme ( Bahagian 2 )


Sebagai ibu bapa, sebaik sahaja anda melepasi reaksi awal, tiba masanya untuk maju ke hadapan dan mencari tempat untuk mendapatkan bantuan. Terdapat banyak badan bukan kerajaan, forum, institusi dan persatuan yang boleh membantu ibu bapa kanak-kanak autistik.

Fokus utama mana-mana pertubuhan lazimnya adalah untuk:

  • membimbing ibu bapa agar mereka boleh memberi penjagaan sewajarnya dan memupuk perkembangan anak mereka.
  • mendidik kanak-kanak autistik untuk menjadi ahli yang menyumbang kepada masyarakat.
  • mewujudkan kesedaran awam tentang autisme dan cabaran yang dihadapi oleh individu-individu autistik dan keluarga mereka.

Apabila meneliti pertubuhan-pertubuhan tersebut, adalah penting untuk anda menyedari bahawa anak anda masih mempunyai harapan. Semua kanak-kanak adalah istimewa, unik dengan cara mereka tersendiri, tetapi semuanya tetap memerlukan kasih sayang ibu bapa, perlindungan, bimbingan dan juga kemesraan. Mereka yang menguruskan pertubuhan, program dan institusi tersebut menyedari hakikat ini dan bersedia untuk tampil ke hadapan bagi membantu, membimbing dan menyokong anda dan anak anda.
Awam

Kerajaan persekutuan, melalui Program PERMATA, telah menubuhkan PERMATA Kurnia (www.programpermata.my/kurnia), sebuah program yang menyediakan khidmat bantuan profesional dan rawatan bagi kanak-kanak autistik dan keluarga mereka. Pusat PERMATA Kurnia di Kuala Lumpur telah beroperasi sejak tahun 2015 dan pusat-pusat yang sama sedang dirancang di seluruh negara. Berikutan kejayaan program PERMATA, satu dasar sedang digubal untuk menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan yang saksama, serta memperbaiki infrastruktur bagi kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan pembelajaran.

Kementerian Pembanguanan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga berkolaborasi dengan program PERMATA melalui jabatan-jabatannya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Keluarga anak-anak autistik yang berdaftar dengan JKM juga menerima bantuan kewangan dan bantuan lain yang relevan.

Di peringkat negeri, sebagai contoh, Selangor dalam pengumuman belanjawan 2016nya, akan tidak lama lagi melancarkan program DIDIK Smart Selangor. Program ini dijangka menjadi pusat serenti bagi rawatan autisme, khusus untuk kanak-kanak autistik daripada keluarga berpendapatan rendah.

Universiti-universiti tempatan juga memainkan peranan strategik dalam pembangunan kanak-kanak autistik melalui pendidikan, penyelidikan dan latihan seperti Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) [email: aheart@unimap.edu.my, Facebook: A-heart Universiti Malaysia Perlis, atau telefon: 04-986 5401/5410/5402] dan Makmal Pembelajaran Austisme UKM [email: dfpend@ukm.edu.my, laman sesawang: http://www.ukm.my/fpendidikan/ atau telefon: 03-8921 6237].


 

Bukan Kerajaan, Bukan Untuk Keuntungan

Pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM – www.nasom.org.my) dan organisasi kebajikan bukan kerajaan, tanpa untung, menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak istimewa melalui pelbagai program. Perkhidmatan-perkhidmatan tersebut memberi penekanan kepada perolehan kemahiran dan perubahan tingkah laku. Objektifnya adalah untuk membantu kanak-kanak autistik hidup dan bekerja dengan lebih cekap di rumah, sekolah dan di dalam komuniti dengan meningkatkan kemahiran pembelajaran, sosial dan bahasa. 


Pusat Autisme IDEAS

Pusat Autisme Hua Ming
  •  Laman sesawang: www.autism.org.my
  •  Email: hmas@autism.org.my
  •  Telefon: 03-7770 2080
Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan
MyHELP – Yayasan
  •  Laman sesawang: www.myhelp.ngo
  •  Email: info@myhelp.ngo
  •  Telefon: 06-981 1762
Akademi Remaja Islam Autisme – Yayasan
  •  Facebook: Arisma – Akademi Remaja Islam Autisma
  •  Telefon: 03-4161 0674
Persatuan Sumber dan Pendidikan bagi Kanak-Kanak Autistik

Kumpulan Sokongan

Kebanyakan kumpulan sokongan mempunyai objektif yang sama dan berusaha untuk:

  • menyokong dan memberi maklumat kepada keluarga yang terlibat,
  • meningkatkan kesedaran mengenai intervensi dan rawatan,
  • menggalakkan ibu bapa membuat pilihan rawatan berasaskan pengetahuan dan,
  • menggalakkan rangkaian dengan profesional dan keluarga yang terlibat.

Kelab Anak-anak Autisme
  •  Facebook: Kelab Anak Autisme
Persatuan Autisme Muslim Malaysia
Sumber Ibu Bapa bagi Autisme Malaysia (Parent’s Resource for Autism Malaysia)
  •  Laman sesawang: www.pr4a.org.my
  •  Facebook: Parents’ Resource for Autism Malaysia
  •  Telefon: 03-7971 1121

Syarikat-Syarikat

Pusat-pusat penjagaan swasta juga menyediakan perkhidmatan yang sama seperti yang disediakan kerajaan. Ini kerana, dalam sesetengah keadaan, pusat rawatan adalah terlalu jauh dari rumah atau senarai menunggu untuk mendaftar anak ke pusat tajaan kerajaan adalah terlalu panjang dan keluarga tidak mampu untuk menunggu.

Senarai tersebut tidak lengkap dan terdapat banyak lagi organisasi di luar sana yang komited untuk membantu dan menyokong kanak-kanak autistik dan keluarga mereka. Dari perkhidmatan kerajaan yang percuma sehingga ke terapi tingkah laku di rumah serta program berasaskan sekolah, dengan rancangan rawatan yang betul, dan limpahan kasih sayang dan sokongan, anak anda pasti boleh belajar, membesar, dan hidup sihat.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.



Autisme

Entri #19 : Autisme ( Bahagian 1 )

* Info ini untuk rujukan sendiri, untuk sumber asal boleh rujuk link di atas. :)


Autisme, juga dikenali sebagai kecelaruan spektrum autisme (autism spectrum disorder) atau ASD , bercirikan masalah komunikasi dan interaksi sosial yang berterusan, dengan tingkah laku yang berulang dan minat atau aktiviti yang terbatas.

Ia dipanggil ‘spektrum’ kerana mereka yang menghidapinya mempunyai masalah/cabaran yang bermula dari tahap ringan hingga teruk, dengan tahap keupayaan dan/atau ketidakupayaan berbeza. Oleh sebab itu, setiap penghidap adalah unik dan memerlukan sokongan yang berbeza.

Cabaran Tingkah Laku Penghidap ASD

Apakah tingkah laku yang membezakan seorang penghidap ASD dengan rakan sebayanya? Terdapat perbezaan mengikut keterukan autisme seseorang dan umurnya, namun terdapat beberapa isu utama yang lazim di kalangan penghidap ASD.

Cabaran Tingkah Laku ASD yang Lazim

Masalah sosial & komunikasi


Perkembangannya tidak mengikut umur biasa, ada kelakuan mereka yang mungkin dianggap tidak sesuai dari segi sosial atau tampak ganjil.


Obsesi, tingkah laku berulang dan minat yang terbatas

Ingin melakukan perkara yang sama berulang-ulang dan tidak selesa dengan perubahan.


Mood yang tidak stabil


Gementar dan membuat perangai walaupun untuk perkara yang tidak penting atau terjadi secara spontan tanpa sebarang punca.


Masalah deria

Input deria yang terlalu sensitif seperti bunyi bising yang lazim (contohnya penyedut habuk) atau hiposensitif – contohnya tiada tindak balas walaupun kepada bunyi bising yang menakutkan seperti bunyi anjing menyalak dengan dekat.


Aktiviti harian


Kombinasi kekurangan kemahiran motor dan/atau ketidakupayaan kognitif (mental) boleh menyebabkan aktiviti harian(seperti memakai baju, makan) menjadi susah.


Masalah tidur

Gangguan ritma sirkadian dan penghasilan melatonin boleh menyebabkan masalah tidur dan juga sensitif kepada cahaya dan suhu.


Masalah psikiatri

Gangguan kurang tumpuan atau Attention deficit hypersensitivity disorder (ADHD), dll yang mungkin berlaku di samping austime.

 
Punca

Para saintis masih belum jelas tentang punca ketidakupayaan ini. Kemungkinan besar, puncanya adalah pelbagai dan terdiri daripada gabungan beberapa faktor yang berbeza (iaitu masalah semasa hamil, genetik atau persekitaran).

Berikut adalah beberapa tanggapan yang salah mengenai punca ASD, yang tidak mempunyai bukti yang cukup atau TIDAK benar:

Vaksin campak, beguk & rubella (MMR)

Suasana pengasuhan atau sosial seseorang

Diet, seperti pengambilan gluten atau produk tenusu

Prevalen

Tiada kajian tempatan tentang prevalen ASD di Malaysia. Banyak kajian, termasuk di Asia, menunjukkan bahawa anggaran prevalennya ialah sekitar 1 peratus (1 dalam 100).


Apakah MCHAT?

Ia merupakan kaedah saringan bagi autisme dan terdiri daripada 23 soalan yang dijawab oleh ibu bapa bagi kanak-kanak berusia 16 hingga 30 bulan. Ujian ini menentukan sama ada penilaian yang lebih teliti bagi tanda-tanda ASD atau kelewatan perkembangan diperlukan.

Sekiranya anak anda didapati positif bagi ASD ketika disaring, itu tidak bermakna anak anda akan didiagnos dengan kecelaruan tersebut. Walau bagaimananpun, sekiranya doktor mensyaki ASD, penilaian yang sempurna dan ujian susulan akan dilakukan.

 
Simptom-Simptom

Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa sesetengah kanak-kanak yang menghidap ASD mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom dalam tahun pertama kehidupannya. Namun begitu, dapatkan nasihat doktor sekiranya anak anda menunjukkan sebarang tanda amaran.


Tingkah Laku Amaran

  • Tidak mengagah menjelang usia 12 bulan
  • Tidak menunjukkan gerak isyarat (menunjuk dengan jari, melambai, memegang) menjelang usia 12 bulan
  • Tidak bertutur perkataan satu ungkapan menjelang usia 16 bulan.

  • Tidak bertutur perkataan 2 ungkapan menjelang umur 24 bulan.
  • Kehilangan sebarang kemahiran berbahasa pada mana-mana peringkat umur. 
Rawatan

Intervensi tingkah laku awal melibatkan bantuan dari seluruh ahli keluarga dan bekerja rapat dengan kumpulan profesional. Ini mungkin tidak dapat dilakukan oleh semua keluarga kerana ia memerlukan komitmen dari segi praktikal, emosi dan kewangan.

Selain itu, terdapat banyak jenis intervensi, rawatan dan terapi untuk autisme yang boleh dipertimbangkan. Mana-mana jenis intervensi harus fokus untuk memperkembangkan:

  • Kemahiran komunikasi, sosial dan interaksi

  • Kemahiran bermain olok-olok, kemahiran motor dan mobiliti

  • Kemahiran kognitif dan akademik

  • Kerja-kerja harian (contohnya latihan ke tandas, makan)

Memandangkan ibu bapa kepada kanak-kanak yang mengalami ASD memainkan peranan yang sangat penting dalam menyokong dan meningkatkan kemahiran anak mereka, penting juga bagi mereka mendapat pendidikan dan latihan dalam cara berkomunikasi dengan anak mereka secara berkesan (contohnya, memanggil nama mereka, menggunakan bahasa yang mudah dan sertakan kata-kata dengan isyarat badan).

Berhubung dengan pertubuhan bukan kerajaan, ibu bapa, individu atau kumpulan sokongan ASD yang lain boleh membantu ibu bapa mendapat lebih banyak maklumat tentang ASD, nasihat tentang rawatan dan isu-isu yang berkaitan. Kumpulan-kumpulan tersebut juga dapat memberi ibu bapa sokongan emosi yang sangat diperlukan. Rakan saya, Datuk Dr Zulkifli, akan menjelaskan dengan lebih lanjut di mana anda boleh mendapatkan bantuan, oleh itu pastikan anda terus bersama kami. Baca di sini: Mengharungi Autisme: Membantu Keluarga Kanak-kanak Autistik.

 
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.